top of page

 

 

SEJARAH

SKTG

​

 

Sekolah  Kebangsaan Telok Gadong adalah di antara sekolah yang tertua di Malaysia. SKTG telah dibuka pada tahun 1897.Sekolah ini ditubuhkan di sebuah bangunan  hospital lama yang terletak di persimpangan Jalan Sungai Bertih dan Jalan Pelabuhan Klang. Pada masa pembukaan sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Melayu Telok Gadong. Nama ini diambil sempena nama tempat tersebut.

 

Bangunan asal sekolah iaitu bangunan hospital lama yang diubahsuai dengan tiga bilik darjah yang menampung 50 orang murid. Pada masa itu Guru Besar yang bertugas ialah Encik Hitam Bin Abd. Samad (1896 –1909). Pada  tahun 1926, sebuah bangunan baru didirikan untuk menampung pertambahan murid. Pada tahun 1935 sebuah bangsal tambahan dibina bagi menampung 300 orang murid.

Sekolah Melayu Telok Gadong tidak kekal di tapak bangunan hospital tersebut. Ia telah dipindahkan ke lokasi baru iaitu bangunan sekolah yang ada sekarang ini iaitu di Jalan Yadi pada 5 Disember 1964.

Bangunan lama sekolah ini telah dirobohkan dan dibina jalan raya serta rumah.

 

Nama sekolah ini telah ditukar  kepada  Sekolah Kebangsaan Telok Gadong. Pada mulanya, sekolah ini mempunyai dua buah bangunan sahaja iaitu blok A dan blok B yang  menampung sejumlah 600 orang murid. Bangunan tersebut telah dirasmikan oleh YB Dato’ Harun B. Idris pada tahun 1965 iaitu Menteri Besar Selangor pada masa itu. Sekolah ini hanya mempunyai 10 bilik darjah, sebuah pejabat, padang bola sepak, gelanggang badminton, tandas, tempat letak basikal, bekalan air dan elektrik.

Pada Tahun 1975, sekolah ini mendapat bangunan baru empat tingkat .Bangunan ini telah dirasmikan oleh KDYMM Sultan Selangor, Sultan Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamudin Alam Shah pada tahun 1977. Pembinaan bangunan tersebut telah menelan belanja sebanyak setengah juta ringgit. Pada tahun 1983, sekolah ini mendapat lagi dua buah bangunan baru iaitu blok D dan blok E.

​

Pada tahun 1987, sekolah ini telah dijadikan 2 buah sekolah dengan 2 pentadbiran yang berasingan iaitu Sekolah Kebangsaan Telok Gadong dan Sekolah Kebangsaan Telok Gadong Dua. Pada tahun 1990 Sekolah kebangsaan Telok Gadong Dua dipindahkan ke bangunan baru yang dibina bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan Telok Gadong dan diberi nama Sekolah Kebangsaan Sungai Udang.

​

Kini, Sekolah Kebangsaan Telok Gadong mempunyai sebuah bangunan baru setinggi tiga tingkat iaitu blok F yang telah siap pada tahun1998. Bangunan tersebut mempunyai 1 makmal sains dan 13 buah bilik. Pada tahun 2001 sebuah makmal komputer telah didirikan di sebelah blok F dan siap digunakan pada tahun 2002. Makmal ini dapat menampung seramai 80 orang murid dalam satu-satu masa.

Pada tahun 2003, kelas  Prasekolah telah dimulakan menggunakan dua kelas di blok F dan menempatkan 50 orang murid. Manakala sebuah blok baru telah dibina untuk Prasekolah Pendidikan Khas yang bermula pada tahun 2008 .

bottom of page